KUALA LUMPUR – Tindakan dua wakil rakyat dari Sarawak yang membantah himpunan solidariti mengenai kekejaman Israel di sekolah sebagaimana pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jelas menunjukkan sikap tidak peka atau sudah mati jiwa.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Nasir Abdullah berkata, Putra mengecam kenyataan yang dibuat oleh Datuk Willie Mongin dan Baru Bian apabila mempertikaikan kewajaran mengadakan himpunan itu kerana ia merupakan satu isu kemanusiaan, pencabulan dan pembunuhan sejak sekian lama di bumi Palestin.
“Tindakan dua wakil rakyat ini amat memalukan kita sebagai rakyat Malaysia kerana ini bukan soal pelajar perlu berpihak kepada geopolitik yang rumit tetapi, ia merupakan satu solidariti berhubung kekejaman demi kekejaman yang dilakukan ke atas sebuah negara yang berdaulat.
“Rakyat di pelbagai negara tanpa mengira agama dan bangsa turun ke jalan-jalan raya mengutuk keganasan Israel ke atas Palestin.
“Malangnya ada wakil rakyat Malaysia yang berpendapat isu Palestin hanya memadai dengan mengeluarkan kenyataan satu baris iaitu “Kami simpati dengan rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, media melaporkan dua ahli Parlimen berkenaan menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan agar sekolah dan institusi pendidikan awam mengadakan “minggu solidariti” bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin.
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata, walaupun bersimpati dengan mangsa konflik Palestin-Israel yang sedang berlaku, arahan yang dikeluarkan KPM menyebabkan pelajar perlu berpihak dalam isu geopolitik yang rumit.
Sementara Willie yang merupakan Ahli Parlimen Puncak Borneo ketika perbahasan di Dewan Rakyat mempersoalkan keperluan ia diadakan memandangkan fokus utama sekolah adalah pendidikan pelajar.
Kelmarin, KPM menerusi pekeliling yang dikeluarkan pejabat Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan) mengarahkan semua sekolah mengadakan minggu solidariti diadakan pada 29 Oktober hingga 3 November, dengan cadangan enam kegiatan.
Pekeliling itu mengundang bantahan sejumlah NGO yang menggesa kerajaan agar sekolah dan institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, pertikaian agama dan perang. – MalaysiaGazette