Prof. Dr. Cheah Fook Choe dari Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

CHERAS – Saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengesan mutasi gen yang wujud pada pesakit bayi baru lahir yang mengalami jaundis (penyakit kuning) dengan menggunakan kaedah pengesanan lebih cepat dan berkesan.

Penemuan mutasi itu melibatkan enzim Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase atau G6PD yang menyebabkan sel darah merah kurang daya tahan terhadap bahan oksida.

Penyelidikan itu melibatkan Prof Dr Cheah Fook Choe dari Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan UKM yang juga merupakan Profesor Pelawat University of Oxford, United Kingdom.

Beliau menjelaskan, sel darah merah yang kurang tahan akan pecah dan ia boleh menyebabkan pesakit mengalami anemia dan jaundis.

Dr Cheah menambah, tiada laporan berkaitan penemuan mutasi gen baru itersebut yang pernah direkodkan dalam populasi dunia dan ia menyebabkan individu yang membawa mutasi gen berkenaan mengalami jaundis atau anemia yang parah yang memerlukan pemindahan darah.

Mutasi dalam gen itu hanya ditemukan baru-baru ini dalam dua bayi yang baru lahir dan mengalami penyakit kuning (jaundis) di Kuala Lumpur dan Selangor.

Mutasi gen baru itu diberi nama G6PD Kuala Lumpur dan G6PD Selangor kerana ditemui pada bayi baru lahir di kedua-dua lokasi tersebut di Malaysia.

Dr. Cheah menjelaskan mutasi ini tidak dapat dielak kerana ia berkaitan faktor keturunan dan saringan keluarga perlu dibuat serta diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Bayi baru lahir yang memiliki mutasi gen ini digolongkan sebagai penghidap kekurangan G6PD yang perlu dirawat di hospital selepas kelahiran untuk memantau perkembangan jaundis yang boleh mendadak.

“Kesan terhadap bayi baru lahir adalah jaundis yang lebih bahaya sehingga boleh menyebabkan penyakit kuning berada di aras yang amat tinggi dan menyebabkan kecacatan saraf ataupun kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek penyelidikan itu bermula dengan dana KPT FRGS 0038-2010 sebanyak RM90,000 dengan kolaborasi pusat di New Zealand. Selepas itu, projek disambung dengan beberapa geran perantaraan sehingga geran terkini dengan kolaborasi pusat di Portugal melalui dana universiti penyelidikan UKM, GUP-2020-028 sebanyak RM70,000. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast