Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk, Mohd Nazifuddin berucap pada Perhimpunan Demi Najib di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,28 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh bersikap seperti pentadbiran terdahulu yang hanya fokus untuk memenjarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tidak mahu memberinya keadilan dari sudut perundangan sehingga kini.

Menurut anak lelaki Najib, Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi, beliau sehingga hari ini tidak dapat menerima tindakan golongan berkepentingan ke atas bapanya.

Kata Mohd Nazifuddin, sudah 430 hari Najib berada di Penjara Kajang kerana tidak mendapat keadilan sewajarnya dalam berjuang membersihkan nama beliau di peringkat mahkamah.

“Saya masih tidak faham mengapa Datuk Seri Najib di penjarkan? Apa salah dan jenayah beliau? Untuk saya hendak kata dari dulu beliau menjadi Menteri Besar, kemudian jadi Menteri sebelum jadi Perdana Menteri akhirnya kerana RM42 juta, beliau masuk penjara?

“Adakah ini adil? Untuk saya, kesalahan paling besar beliau kepada rakyat ialah selepas PRU-14. Janji Najib turun, Malaysia dapat diselamatkan. Tapi tengok Malaysia hari ini, macam mana Malaysia hari ini? Dolar Amerika ke Ringgit?

“Dulu Datuk Najib tinggalkan RM600b hutang negara, hari ini berapa? RM1.5 trilion sekarang. Siapa yang mencuri sekarang ini? Siapa yang patut dipenjarakan? Yang pasti bukan Datuk Seri Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong Najib di Dewan Bear Kelab Sultan Sulaiman pada Perhimpunan #Demi Najib anjuran bersama Akademi Wasatiyyah Madani dan Team NR malam tadi.

Sambung Mohd Nazifuddin, baru-baru ini mahkamah memutuskan Najib perlu membayar cukai RM1.69 bilion ringgit kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kenapa Datuk Najib dikenakan LHDN ini? Ada dua tujuan, bila kita habis PRU-14, lapan kes mahkamah ini direka tapi satu lagi senjata digunakan untuk jatuhkan Datuk Najib dan keluar beliau iaitu senjata LHDN.

“LHDN sudah menjadi senjata untuk bunuh karier politik Datuk Najib. Jika beliau tidak berjaya dipenjarakan maka kita kenakan LHDN kepadanya. Tujuan kedua pula, untuk nampakkan satu keluarga Najib tidak bayar cukai.

“Tiap-tiap tahun saya bayar cukai, begitu juga dengan Abang Nizar, beliau akauntan mesti kena bayar cukai. Tapi kuasa LHDN itu boleh di salahgunakan. Bayangkan bayar cukai RM1bilion, mengapa tidak kenakan semua RM1bilion itu? Adakah ini keadilan?” ujarnya.

Katanya lagi, beliau tidak akan dapat ‘move on’ selagi keadilan untuk bapanya yang juga mantan Perdana Menteri tidak terjawab.

“Bayangkan ini adalah mantan Perdana Menteri tidak dapat pengadilan apatah lagi rakyat biasa. Berilah keadilan buat Datuk Najib, buat benda yang secara moralnya betul. Jangan tidakkan lagi keadilan serta hak beliau,” katanya. -MalaysiaGazette