Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN 2023 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disiarkan scara atas talian dari Sunway Velocity hari ini. - Gambar FB PTPTN.

KUALA LUMPUR – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) terus kekal sebagai produk yang berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa.

Buktinya, sehingga 30 September tahun ini, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM15.94 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 6.11 juta, kata Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim.

Menurutnya, Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004 telah menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif serta dijamin kerajaan termasuk patuh syariah.

“Sehingga 30 September 2023, PTPTN telah membantu seramai 3.86 juta pelajar melibatkan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM70.48 billion.

“Kini, ke arah menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara, misi utama PTPTN ialah memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

“Usaha ini bagi memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN 2023 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disiarkan scara atas talian dari Sunway Velocity Mall di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis penutup itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Norasni Ayub.

Bercakap mengenai Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023, Norliza berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM220 juta.

Katanya, beliau optimis PTPTN akan dapat mencapai sasaran tersebut.

Ujarnya, BMS 2023 merupakan program signatur PTPTN yang diadakan bagi mempromosi Simpan SSPN sebagai produk simpanan terbaik kepada masyarakat.

Program itu, katanya, telah diadakan sepanjang bulan Oktober dan akan berakhir pada Selasa ini.

“Menariknya, PTPTN telah menjelajah ke seluruh negara dan BMS 2023 turut dilancarkan di peringkat Zon Timur, Zon Selatan dan Zon Utara. Pada kali ini, Kuala Lumpur menjadi lokasi terakhir BMS 2023.

“Dengan tema “Robotik: Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan”, BMS 2023 turut mengekalkan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda.”

“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas yang saya terima, sambutan masyarakat kepada BMS 2023 sangat menggalakkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast