Gambar hiasan

IPOH – Tidak sampai 24 jam pulang ke rumah, sebahagian daripada mangsa banjir terpaksa dipindahkan semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak di Teluk Intan, selepas kediaman mereka dinaiki air sekali lagi, malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, situasi banjir itu berpunca daripada cuaca hujan lebat sejak petang semalam selain fenomena air pasang yang melanda Sungai Perak pada Ahad.

Menurutnya berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) paras Air Sungai Bidor di Hilir Perak merekodkan melepasi paras bahaya iaitu 4.15 meter (m) setakat jam 8.30 pagi tadi.

Katanya lagi, ekoran situasi itu sermai 85 mangsa telah ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak berbanding 51 mangsa bagi daerah Hilir Perak, pada Ahad.

Tambah jurucakap itu, jumlah mangsa berkenaan melibatkan 25 keluarga dari sembilan penempatan iaitu Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik 3, Batu 9, Simpang 3, Batu 10, Batu 7, Lorong Sidang Osman 7, Batu 9 serta Lorong Mesra.

“Situasi banjir sama menyaksikan pembukaan sebuah PPS di Selama iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai STAR pada malam Ahad.

“Ia melibatkan 30 mangsa daripada 11 keluarga dari dua kampung iaitu Kampung Sungai STAR dan Kampung Tanjung Lengkog,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, setakat pagi ini jumlah mangsa banjir yang terjejas di Perak adalah seramai 156 mangsa daripada 45 keluarga berbanding 92 mangsa daripada 23 keluarga malam tadi.

Di samping itu, jelasnya lagi seramai 30 mangsa banjir daripada 11 keluarga di Selama ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai STAR.

Katanya jumlah mangsa itu melibatkan dua kawasan penempatan iaitu Kampung Sungai STAR dan Kampung Tanjung Lengkog.

“Pada masa sama, jumlah keluarga dan mangsa banjir di Kerian yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak adalah kekal iaitu 41 mangsa daripada sembilan keluarga,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, JPS Perak memaklumkan sebanyak dua sungai merekodkan paras waspada dan dua sungai berada pada paras amaran.

Sungai yang merekodkan paras waspada adalah Sungai Kerian di Selama (11.52 m) dan Sungai Ijok di Titi Ijok (11.62 m).

Sementara Sungai Slim di Slim River dan Sungai Kinta di Wier Tanjung Tualang masing-masing mencatatkan bacaan paras amaran iaitu pada 25.31 m serta 13.92 m. – MalaysiaGazette