Terersa Kok dan Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong meminta Naib Pengerusi DAP Teresa Kok supaya tidak menyebut nama beliau ketika membuat apa-apa kenyataan.

Ka Siong berkata, beliau tidak suka tindakan terbaharu yang dilakukan Terese menyebut namanya berkaitan ugutan yang diterima oleh Ahli Parlimen Seputeh tersebut

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, berdasarkan gaya bahasa pada surat tidak mungkin beliau menulis ugutan yang diterima Teresa pada Sabtu.

“Jangan sebut nama saya sesuka hati, sebab saya memang tak suka. Lebih-lebih lagi berkaitan kes serius ini.

“Mesej ugutan beserta dengan peluru yang dihantar kepada kamu sangat teruk penggunaan Bahasa Melayunya. Mana mungkin Bahasa Melayu saya seteruk itu?” soal beliau.

Ka Siong mendakwa Teresa menyebut namanya dalam laporan berita dalam bahasa Mandarin yang diterbitkan oleh 8TV News.

Presiden MCA itu menggesa supaya Ahli Parlimen Seputeh itu memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat dan bertegas supaya beliau tidak menyebut namanya lagi.

“Kalau saya marah dengan kamu dan terpaksa menghantar sesuatu kepada kamu, maka saya pasti akan menghantar dua botol minyak sawit buatan Malaysia untuk “mencerdikkan” kamu, Teresa!

“Faham ke tidak? Apa pun kamu dah buat laporan polis, biar polis siasat dan ambil tindakan. Kenapa nak sebut nama saya lagi?” kata Ka Siong dalam kenyataan di media social.

Media melaporkan, Teresa menerima surat ugutan bunuh bersama dua butir peluru hidup, semalam yang diletakkan pada peti surat kediamannya.

“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah saya dan mengambil surat di peti surat, saya dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.

“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis perkataan lucah dan ugutan bunuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Teresa merupakan pemimpin ketiga DAP menerima ugutan mengancam nyawa tahun ini.

Pada 10 Januari rumah Ahli Jawatankuasa (Penasihat) DAP Perak Ngeh Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung diserang menggunakan bahan letupan, ‘molotov cocktail’.

Serangan pada 2.55 pagi 10 Januari itu menyebabkan kebakaran pada ruang depan rumah dan memusnahkan Mercedes E300, Honda CRV dan Toyota Hilux milik Ahli Parlimen Beruas itu.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming menerima ugutan bertulis ‘Nga Kor Ming Jangan cabar Islam’ yang ditabur di hadapan rumah ibunya di Ayer Tawar, Manjung, Perak pada 7 Jun sekitar jam 7.30 pagi. – MalaysiaGazette