KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga siling ayam daging.
Menurut FLFAM, keputusan itu akan membantu bekalan ayam pedaging dan telur stabil dan dijangka memenuhi permintaan pengguna di negara ini.
“Tindakan ini pastinya akan menggalakkan pengembangan penternakan ayam pedaging dan pelaburan asing ke dalam sektor ini yang akan mengukuhkan lagi bekalan dan menyumbang secara positif kepada keselamatan makanan negara.
“FLFAM memberi jaminan bekalan ayam mencukupi terutamanya selepas harga siling dinaikkan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, persekutuan itu turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk mengekalkan harga telur dan memberi subsidi kepada pengeluar telur ayam.
Katanya, tidakan itu membolehkan kumpulan B40 terus menikmati harga telur yang sangat berpatutan.
Artikel berkaitan:
- Subsidi ayam tamat Rabu ini
- Dasar kawalan harga, subsidi ayam diteruskan sehingga mekanisme bersasar dimuktamadkan
“FLFAM akan terus menyokong langkah Kerajaan untuk memastikan bekalan ayam pedaging dan telur yang mencukupi dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Kerajaan mengumumkan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November ini.
Manakala pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C akan dilanjutkan mengikut mekanisme sedia ada.
Artikel berkaitan:
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini ia turut dinikmati warga asing dan berpendapatan tinggi.
Menurutnya, penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan di samping dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosial-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai. – MalaysiaGazette