Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap pada sidang media mengenai Penamatan Kawalan Harga dan Subsidi Ayam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam sepenuhnya bermula Rabu ini.

Bagaimanapun subsidi dan kawalan harga telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Penamatan Kawalan Harga dan Subsidi Ayam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.

Katanya, pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran, dan perincian mengenai langkah itu akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam dua minggu, selepas berunding dengan pihak pengeluar.

Anwar berkata, langkah ini juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penamatan subsidi ayam secara pukal untuk mengurangkan ketirisan subsidi kerana turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Katanya, penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.

“(Selepas apung harga ayam) Kita tidak boleh dapat agak berapa (peningkatan harga ayam), tetapi ia dalam keadaan terkawa..insya-Allah di bawah harga siling.

“Pihak kita telah berdialog dengan pihak penternak dan pembekal. Mereka sendiri katakan mereka jual sekarang agak murah jauh daripada harga syiling, maka harganya agak stabil bila diapungkan nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette