Anggota Bulan Sabit Merah Palestin bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang diserang Israel.-Foto FB Palestine Red Crescent society

GAZA CITY – Israel telah membunuh lebih 8,000 rakyat Palestin dalam serangan kejam yang memasuki hari ke-23.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sejumlah 7,950 maut di Gaza manakala 114 lagi mati dibunuh oleh Israel di Tebing Barat.

Manakala jumlah yang cedera melebihi 20,000 orang di kedua-dua wilayah Palestin berkenaan.

Menurutnya, kira-kira 73 peratus yang maut di Semenanjung Gaza adalah kanak-kanak, warga emas dan wanita.

“Kementerian Kesihatan menyeru derma darah dan merayu kepada Pertubuhan Palang dan Bulan Sabit Merah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk membekalkan unit darah dari luar Semenanjung Gaza dari Tebing Barat dan Mesir,” katanya dalam kenyataan.

Penggunaan harian bahan perubatan semasa perang adalah bersamaan dengan penggunaan bulanan sebelum perang.

Sebanyak 12 daripada 35 hospital di Gaza dan 46 daripada 72 klinik penjagaan kesihatan primer telah ditutup kerana rosak dan musnah akibat pengeboman atau kekurangan bahan api. Israel masih mengharamkan kemasukan bahan bakar ke Gaza.

“Kekurangan bahan api dan elektrik yang teruk menjejaskan fungsi paling kritikal di semua hospital dan keupayaan ambulans untuk bertindak balas.

“Kehabisan bahan api membahayakan nyawa pesakit yang cedera, pesakit dalam rawatan rapi, mereka yang memerlukan pembedahan, sebagai tambahan kepada inkubator neonatal dan lebih 1000 pesakit yang bergantung kepada dialisis,” jelasnya.

Sementara itu sebanyak 177,781 kediaman telah musnah dibom dengan lebih 260 serangan dilakukan terhadap fasiliti kesihatan.

Dalam pada itu keseluruhan trak bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza sejak 21 Oktober hingga 27 Oktober telah mencecah 84 buah.

Sebelum pencerobohan Israel, purata 500 trak muatan memasuki Gaza setiap hari bekerja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast