TEL AVIV – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan penyiaran video tiga wanita Israel yang menjadi tebusan pejuang Hamas didakwa sebagai ‘propaganda psikologi yang kejam’.
Menurut Netanyahu, pihaknya telah melakukan segala usaha bagi membebaskan kesemua lebih 200 tebusan yang telah ditahan Hamas dalam serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.
“Ini adalah propaganda psikologi yang kejam oleh Hamas-Isis. Kami sedang memeluk keluarga (anda). Kami akan melakukan segala-galanya untuk mengembalikan semua orang yang diculik dan hilang pulang,” katanya.
Sementara itu media melaporkan Netanyahu telah menolak sebarang gencatan senjata di Gaza sambil menegaskan ‘ini adalah masa untuk perang’.
Beliau berkata demikian selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan agensi keselamatan Shin Bet berjaya membebaskan seorang tahanan, Ori Megidish yang juga seorang anggota tentera.
Megidish dibebaskan pada malam Ahad, tiga minggu selepas dia diculik. Netanyahu berkata kemaraan tentera melalui Gaza membuka peluang untuk membebaskan tebusan.
Katanya, gesaan untuk gencatan senjata bermakna meminta Israel menyerah kepada keganasan dan kebiadaban.
“Itu tidak akan berlaku. Bible mengatakan bahawa ada masa untuk damai dan ada masa untuk peperangan. Ini adalah masa untuk berperang,” kata Netanyahu.
Sebelum itu tular video tiga wanita Israel yang menjadi tebusan mendakwa Netanyahu berniat untuk membiarkan mereka dibunuh kerana selepas 23 hari diculik tidak ada sebarang usaha untuk membebaskan mereka.
Wanita yang dikenali sebagai Elena Trupanov, Danielle Aloni dan Rimon Kirsht melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap Netanyahu kerana gagal melaksanakan gencatan senjata seperti yang dibincangkan dengan keluarga mangsa yang diculik.
“Hari ke berapa sekarang? Hari ke-23. Kelmarin ada sidang media bersama dengan keluarga mangsa yang diculik. Kami tahu sepatutnya sudah ada gencatan senjata. Kau sepatutnya bebaskan kami semua.
“Kau harus bebaskan kami semua tapi sebaliknya kami diseret ke dalam permainan politik kau dan pasukan tentera,” katanya.
Video tebusan itu dikeluarkan oleh sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam dan setakat ini hanya empat daripada kira-kira 230 tahanan yang telah dilepaskan oleh Hamas.-Agensi