KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan polis akan memulakan tapisan latar belakang kepada individu yang ingin bekerja sebagai pengasuh dan mereka yang mahu mendaftarkan taska.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, perkara tersebut diputuskan dalam pertemuannya bersama Timbalan Ketua Pilis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini.

Jelas beliau, polis akan melakukan tapisan berkenaan rekod jenayah calon manakala  KPKWM pula menyemak kelayakan berdasarkan syarat dan garis panduan termasuk kesihatan mental serta kemampuan menguruskan taska.

“Baru-baru ini saya ada perbincangan dengan Datuk Seri Ayob Khan.Syukur polis sedia untuk kerjasama dengan kita (KPWKM) untuk beri maklum balas sebagai panduan kepada kami sama ada yang mohon jadi pengasuh ini layak atau rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Usahasama Strategik @Advokasi Antigangguan Seksual Bersama Express Rail Link Sdn.Bhd di Balai Perlepasan KLIA Ekspres di KL Sentral, di sini, hari ini.

Menurut Nancy, proses permohonan perlu diperketatkan dengan saringan-saringan berkenaan untuk tujuan keselamatan kanak-kanak, sekali gus membantu mengatasi jenayah dera di taska.

“Kami rasa perlu kami ketatkan kerana walaupun ia akan menjadi halangan juga kepada pengasuh kalau dia tidak diluluskan yang penting ialah kebajikan dan keselamatan kanak-kanak itu.

“Baru-baru ini pun kita tengok laporan ada yang libatkan bukan warga negara tempatan jadi pengasuh, jadi ini cabaran kita untuk pastikan tidak berlaku sebab warga asing tidak datang ke negara ini untuk jadi pengasih,” tambah beliau.

Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya akan membuat lawatan mengejut ke premis taska bagi tujuan pemantauan berkala.

Baru-baru ini, seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska yang dipercayai tidak di berdaftar di Seksyen 6, Kota Damansara. – MalaysiaGazette