KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan pengembangan ilmu harus menjadi agenda nasional yang kalis politik.
Justeru itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan memberikan jaminan akan terus memberikan dorongan dan dokongan kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini khusus dalam usaha penerokaan dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu.
Beliau berkata, dokongan itu akan diberikan termasuk kepada bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.
“Pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri. Malah membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan.
“Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu,” katanya ketika menyempurnakan Anugerah Akademik Negara (AAN) ke 15 di ibu negara malam ini.
Ucapan Anwar dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Anwar percaya tiada yang lebih layak untuk memicu pemugaran nilai yang baik ini kepada masyarakat jika bukan ahli akademik dan golongan bijak pandai.
“Baik di IPT awam mahu pun swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi, institut latihan dan vokasional hatta di mana-mana sahaja, saya melihat ahli-ahli akademik sebagai pemimpin akal masyarakat.
“Cuma, tugas sebagai pemimpin akal masyarakat ini sebenarnya hadir bersama satu lagi tanggungjawab penting, iaitu menyemai nilai unggul dalam diri anak bangsa.
“Saya sedar, kombinasi dua tanggungjawab membangunkan akal dan menanam nilai yang baik dalam diri masyarakat ini adalah tanggungjawab yang besar dan kritikal,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu ahli-ahli akademik menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk melonjak potensi diri yang terbaik.
Malah, gologan yang sama harus menjadi rujukan kepada anak bangsa kita untuk memberi yang terbaik kepada negara.
“Semua proses ini memerlukan ahli sarjana, ikon pemikir dan sang murabbi yang bukan sahaja mengajar dan mendidik di peringkat pendidikan tinggi. Tetapi menjadi inspirasi yang disegani kepada rakan dan orang awam.
“Saya dengan rendah hati sangat berharap ahli-ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa kita. Terutamanya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.
“Secara peribadi, saya akui dan berbangga dengan sumbangan ilmu oleh ahli-ahli akademik kita yang tidak terhad kepada sumbangan dalam ruang lingkup tempatan sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette