KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori melalui detik cemas apabila tersepit di dalam sebuah lori yang dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat di Taman Perindustrian KIP Kepong hari ini.
Bagaimanapun pemandu lori itu terselamat dalam kejadian sekitar jam 3 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden pokok tumbang menghempap sebuah lori sekitar jam lebih kurang 3.25 petang tadi.
“Bertindak atas panggilan kecemasan insiden itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah digerakkan ke lokasi kejadian tersebut.
“Setiba di lokasi mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap kepala lori model jenis Hino dipercayai akibat hujan lebat yang melanda petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, dalam kejadian itu seorang mangsa lelaki warga tempatan berusia 46 tahun telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Bagaimanapun, anggota mendapati mangsa berjaya dikeluarkan dan diselamatkan oleh orang awam yang bertindak pantas sejurus selepas kejadian itu.
“Mangsa dikenalpasti sebagai Balakrishnan Nadarajan yang beralamat Taman Tun Teja, Rawang ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya. – MalaysiaGazette