Ketua perunding Strategis MAMPU, Siti Sapura Raffee (duduk, kanan) bersama Prof Dr. Awang Asri, Ketua Pegawai Digital UMS menandatangani dokumen EA dan BDA UMS.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan khidmat perundingan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dalam pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan analitis data raya, juga dikenali sebagai Big Data Analytics (BDA) di universiti itu.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pembangunan EA dan BDA di universiti tersebut adalah selaras dengan pelaksanaan inisiatif data raya seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Menurut beliau, pelaksanaan EA dan BDA amat penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan digital UMS dapat ditingkatkan serta memastikan perancangan dan pembuatan keputusan pada masa hadapan adalah berlandaskan data.

“UMS komited menyokong Teras Strategik 2, Pelan Strategik Pendigitalan Agensi Sektor Awam 2021-2025 dengan mewujudkan agenda pendigitalan ke dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027 melalui Key Result Area (KRA) 7, Digital Transformation.

“Ia bermatlamat untuk menyediakan infrastruktur digital yang mampan, perkhidmatan digital yang inklusif, dan pengurusan data yang komprehensif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Dr Kasim, transformasi digital yang menyeluruh merangkumi domain bisnes, data, aplikasi dan teknologi akan meningkatkan kualiti perkhidmatan digital dan memberi manfaat kepada pemegang taruh UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Pembangunan EA dan BRS diharap dapat meningkatkan pendigitalan, penyepaduan proses dan infrastruktur UMS serta perkongsian data dalam kalangan universiti dan agensi kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast