KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memanggil Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar hari ini bagi memberi keterangan mengenai HRD Corp kerana agensi itu di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media di Parlimen berkata, ia berkaitan prosiding berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp di mana prosiding pertama telah diadakan pada 23 Oktober lalu.
Beliau berkata, sehingga hari ini, empat saksi telah hadir bagi memberikan keterangan dan penjelasan kepada PAC.
Mereka adalah Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia; DatukAmran Ahmad dan Ketua Eksekutif HRD Corp; Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp.
Turut dipanggil, dua mantan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Rosli Yaakob Datuk Grace Chia Hui Yen, mantan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp.
Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, pihaknya memutuskan bahawa dua lagi prosiding diadakan iaitu pada hari ini dan semalam.
Katanya, saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan dan penjelasan pada prosiding semalam ialah wakil dari Kementerian Kewangan dalam HRD Corp.
“Keesokan hari pada 2 November 2023, Khamis (hari ini) PAC akan mendengar keterangan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar. Keputusan memanggil kedua-dua saksi in, adalah disebabkan nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka.
“Sehubungan itu, saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di bulan lalu. – MalaysiaGazette
















