Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Jaminan bekalan air berterusan ke beberapa negeri yang bermasalah memerlukan kesepakatan merentasi parti antara kerajaan negeri.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, contohnya, apabila masalah bekalan air Pulau Pinang yang memerlukan pemindahan air dari Sungai Perak.

Namun beliau difahamkan, perbincangan awal antara Kerajaan Perak dan Pulau Pinang telah berlangsung dengan baik.

Katanya, perkara itu telah disuarakan dalam Mesyuarat Majlis Air Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri Besar Perak dan Exco Pulau Pinang.

“Jika kita lihat kadar masalah air tidak terhasil (NRW) masih tinggi di banyak negeri. Disebabkan itu perlu ada kesepakatan rentas parti dalam perbincangan antara kerajaan negeri untuk lihat semula tarif air di negeri.

“Kami di peringkat Kerajaan Persekutuan akan sediakan kertas Jemaah Menteri mengenai perkara terbabit,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu apakah tindakan kerajaan dalam usaha mempercepat projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang bagi memastikan jaminan bekalan air berterusan membabitkan kedua-dua negeri terbabit.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, soal tarif juga perlu diberi perhatian kerana sektor air disifatkan sebagai tidak ekonomi di Malaysia memandangkan ia berada pada kadar terlalu rendah.

Beliau turut mengulas soalan asal Guan Eng mengenai situasi semasa Empangan Air Mengkuang yang disenaraikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai satu daripada tujuh empangan air berisiko tinggi di Malaysia.

Katanya, NRECC merangka sembilan tindakan termasuk pemantapan pelan komunikasi di antara pihak berkepentingan dan penyelarasan dengan operator bekalan air.

“Kita melakukan kajian semula perjanjian persefahaman dalam kalangan operator air dan melihat garis panduan sedia ada, ini berikutan Fenomena El Nino yang sedang dihadapi sekarang.

“Selain itu, turut dilaksanakan penyelarasan bersama agensi berkaitan seperti bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan operator empangan,” katanya. – MalaysiaGazette