Alexander Nanta (tengah) bersama penerima Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) 2023 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), Alor Gajah, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperkenalkan Program Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar bagi membolehkan integrasi teknologi dan kajian pembinaan serta penyelenggaraan jalan dilakukan secara inklusif di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia selaras aspirasi kempen MYJalan dan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

Menurutnya, program itu dijangka akan memanfaatkan 33.4 juta penduduk negara hasil inisiatif inovasi daripada kepakaran dan pengetahuan KKR dan semua agensi di bawahnya.

“Sandbox ini adalah satu kaedah untuk kita gemblengkan idea, tenaga dan sebagainya supaya semua teknologi yang ada dapat dipertingkatkan dalam industri pembinaan negara.

“KKR mahu program ini dapat menjadi strategi asas di mana semua agensi lain dalam KKR sepatutnya ada satu kaedah yang lebih sinergi melibatkan semua pemain industri,” katanya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) 2023 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Pengarah Kanan CREaTE Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman.

Majlis itu menyaksikan seramai seramai 383 orang menerima sijil terdiri daripada pegawai pelbagai disiplin diperakukan dengan cemerlang.

Mengulas lanjut, Alexander Nanta berkata, KKR kini masih dalam proses menerima idea untuk memperkasakan program Sandbox dalam kalangan kontraktor dan syarikat konsensi lebuh raya.

“Kontraktor G1, G4 pemaju-pemaju lebuh raya, syarikat konsesi termasuk juga pengguna rakyat biasa yang menggunalan jalan raya semua ini kita perlukan idea mereka.

“Saya tak mahu tetapkan tempoh pelaksanaan program ini kerana lebih suka jika tahap keberkesanan Sandbox ini dapat dipertingkatkan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast