KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya dan Pasar Awam Kajang, Selangor.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, tujuan pemeriksaan dan pemantauan itu dilaksanakan bagi meninjau situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam.
“Ia bersusulan penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula 1 November lalu seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan pada 30 Oktober 2023.
“KPDN menggerakkan lebih 2,200 orang anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Ini bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.
Pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di seluruh negara.
Tambah Fuziah, berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh KPDN pada 2 November lalu, kedudukan harga purata Ayam Bersih Standard peringkat Nasional adalah RM8.51/kilogram (kg) manakala harga purata di Semenanjung Malaysia adalah RM8.46/kg.
Sementara itu, harga purata bagi Ayam Bersih Standard di Sabah adalah RM11.61/kg, Sarawak adalah RM10.14/kg dan Wilayah Persekutuan Labuan pula adalah RM12.50/kg.
KPDN juga meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada Kementerian sekiranya berlaku salah laku oleh peniaga berhubung harga penjualan ayam. – MalaysiaGazette