KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk terus komited dalam pembangunan bandar mampan dan berdaya huni melalui pemerkasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Justeru Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) merupakan medium perundingan bagi penggubalan dasar berkaitan hal ehwal kerajaan tempatan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Ia selaras dengan Perkara 95 A Perlembagaan Persekutuan. Keputusan-keputusan dasar dan perkara-perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat MNKT akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan, kata kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini.
Mesyuarat MNKT Ke-81 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen semalam.
Sebanyak enam kertas dibentangkan merangkumi dua kertas pertimbangan dan empat kertas makluman.
“MNKT Ke-81 bersetuju dengan penyediaan perancangan perbandaran mampan melalui satu garis panduan yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Garis Panduan Perancangan Pembangunan Semula Bandar (GPP PSB).
“Jenis-jenis pembangunan semula bandar yang dirangkumkan dalam garis panduan ini adalah Pembangunan Semula Bandar (Urban Redevelopment), Penjanaan Semula Bandar (Urban Regeneration), Penyegaran Semula Bandar (Urban Revitalisation) dan Pemuliharaan Semula Bandar (Urban Conservation), bagi memastikan persekitaran bandar sentiasa berada pada tahap yang kondusif dan mampan.
“GPP PSB menggariskan perkara-perkara asas berhubung pertimbangan pertimbangan utama dalam menguruskan permohonan berkaitan pembaharuan semula bandar yang diharap dapat memandu pelaksanaan pembaharuan semula bandar dan digunakan oleh Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi berkaitan serta pemaju yang disesuaikan mengikut amalan dan pemakaian Pihak Berkuasa Negeri/ Pihak Berkuasa Tempatan.” kata kenyataan yang sama.
MNKT merupakan medium perundingan bagi penggubalan dasar berkaitan hal ehwal kerajaan tempatan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selaras dengan Perkara 95 A Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan-keputusan dasar dan perkara-perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat MNKT akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan di peringkat Kerajaan Tempatan.
“Kesemua perkara yang telah dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat MNKT kali ini akan dapat membantu usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa PBT dan meningkatkan tahap perkhidmatan PBT kepada rakyat.” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette