benjamin netanyahu
Benjamin Netanyahu (kanan) dalam pertemuan dengan Anthony Blinken di Israel, awal November 2023. - Gambar: Facebook Perdana Menteri Israel

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak cadangan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) agar gencatan senjata sementara dikuatkuasakan di Gaza.

Memetik laporan Aljazeera, beliau mahu Hamas membebaskan kira-kira 240 tahanan warga Israel terlebih dahulu.

“Saya telah katakan dengan jelas bahawa kami tetap meneruskan serangan dan Israel menolak gencatan senjata sementara selagi tahanan Hamas tidak dibebaskan,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken yang tiba di Israel semalam memaklumkan, beliau telah membincangkan gencatan senjata sementara itu dengan Netanyahu.

Menurut beliau, langkah itu adalah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.

“Kami yakin bahawa usaha ini boleh dilakukan melalui gencatan senjata serta jaminan keselamatan untuk orang awam sekali gus membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dilakukan secara berkesan dan berterusan,” katanya kepada pemberita.

Penduduk Gaza kini dalam keadaan serba kekurangan setelah rejim Zionis Israel menyekat penyaluran bekalan makanan, bahan api dan elektrik serta memusnahkan kawasan kediaman melalui serangan udara yang tidak berperikemanusiaan.

Setakat hari ini, seramai 9,376 penduduk Gaza termasuk 3,912 kanak-kanak dan 2,213 wanita terkorban akibat serangan udara rejim Zionis Israel.

Pertubuhan-pertubuhan bantuan antarabangsa telah memberi peringatan bahawa bencana kemanusiaan bakal melanda Gaza sekiranya rejim Zionis Israel meneruskan serangan dan sekatan terhadap wilayah itu. – Agensi