Keadaan Kompleks Pasar Raja Bot.

KUALA LUMPUR – Kebanyakan peniaga di Pasar Chow Kit, di sini, memilih untuk berniaga di tapak lama walaupun pasar baharu telah siap sepenuhnya. Hal ini kerana perniagaan di tapak baharu kurang mendapat sambutan pelanggan.

Tinjauan MalaysiaGazette semalam mendapati hanya dua peniaga yang masih berniaga walaupun salah seorang daripada mereka sudah melakukan kerja-kerja pembersihan untuk menamatkan perniagaannya.

Peniaga makanan laut, Donney Shah Putera Ristamanshah, 47.

Peniaga makanan laut, Donney Shah Putera Ristamanshah, 54, berkata, pendapatan di tapak baharu itu merupakan pendapatan terburuk sepanjang 10 tahun beliau berniaga.

“Saya sudah berniaga lebih 10 tahun, tetapi tidak pernah pendapatan seteruk ini. Harga barang dari pembekal semakin naik, namun pelanggan tiada. Di tapak lama, mereka boleh terus membeli dan banyak pilihan, sedangkan untuk ke sini mereka perlu berjalan jauh.

“Waktu operasi di sini juga berbeza. Kami di tapak baharu berniaga dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari sahaja kalau nak dibandingkan dengan mereka di tapak lama yang boleh berniaga sehingga 6 petang. Kalau berniaga lama-lama sekalipun, tiada pelanggan yang datang,” katanya.

Para peniaga di Kompleks Pasar Raja Bot membuat keputusan untuk menamatkan operasi perniagaan awal kerana tiada pelanggan, walaupun dalam kuantiti yang kecil, jualan tidak pernah habis.

Apabila ditanya berkenaan isu tidak cukup meja di tapak baharu, Donney menjelaskan ia tidak sepatutnya timbul.

“Untuk setiap lorong di sini, ada lebih kurang 20 meja. Kalau lima lorong, sudah 100 meja jadi tidak sepatutnya timbul isu itu. Jika kita lihat di sini pun banyak lagi ruang yang masih kosong.

“Sebelum ini, pelanggan selalu keliru dan tidak tahu kami telah berpindah. Mereka hanya tahu apabila bertanya kepada peniaga di tapak lama. Situasi ini menyukarkan kami.

“Sekarang, kami hanya cukup-cukup makan. Kami ada keluarga, sewa dan pekerja yang perlu dibayar. Jadi harapan saya adalah pihak bertanggungjawab dapat menyelaraskan isu ini dan pastikan semua berpindah ke tapak baharu,” katanya.

Mengulas tentang harapan Belanjawan 2025, Donney berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan daripada segi kewangan atau insentif untuk meringankan beban peniaga kecil yang terjejas.

“Saya harap Belanjawan 2025 dapat menyediakan peruntukan untuk kami peniaga kecil. Kami amat memerlukan sokongan kewangan untuk terus bertahan. Jika keadaan berterusan begini, sukar untuk kami meneruskan perniagaan,” ujarnya.

Tinjauan MalaysiaGazette ke pasar itu pada September lalu mendapati keadaan pasar itu sepi dan lawatan semalam tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara.

Para peniaga di situ berharap isu tersebut dapat diatasi segera bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka di Kompleks Pasar Raja Bot. – MalaysiaGazette