BANGI – ‘Air naik dengan cepat, 15 minit sudah penuh dalam rumah.
“Kami tak sempat selamatkan barang,” kata Zaraan Mokhtar, 59, ketika detik-detik rumahnya dinaiki air awal pagi tadi.
Zaraan antara sebilangan penduduk Kampung Bangi Lama yang sempat ditemui MalaysiaGazette ketika tinjauan di sekitar kawasan itu.
Jelas warga emas itu, air naik begitu cepat sehinggakan ada penduduk yang tidak sempat mengalihkan kenderaan masing-masing.
“Rumah saya tenggelam nak sampai ke bumbung. Memang tak sempat nak selamatkan apa-apa sebab air terlalu cepat memenuhi kawasan. Barang-barang satu pun tak sempat diselamatkan.
“Kawasan ini selalu dilanda banjir, tahun ini baru sekali banjir tapi tahun lepas dua kali. Tapi ini yang paling teruk,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bagi Murliani Mokhtar, 41, pula, banjir kali ini adalah yang pertama buat tahun ini selepas dua kali berlaku tahun lalu.
Meskipun begitu, beliau menyifatkan banjir yang berlaku jam 4 pagi itu adalah yang paling teruk berlaku setakat ini.
“Jam 2 pagi air sudah masuk, air laju betul sebab melimpah dari sungai.
“Rumah saya separuh tingkat hilang, barang tak sempat nak diselamatkan. Untuk tahun ini, ini kali pertama banjir,” katanya ketika meninjau rumahnya yang ditenggelami banjir dari jauh.
Dalam pada itu, Fakhrulrazi Osman, 44, banjir yang berlaku semalam menyebabkan beliau rugi semua barang-barang rumahnya.
Manakan tidak, banjir kali ini tidak dapat dijangka kerana datang dari arah yang berlainan, tidak seperti banjir sebelum ini.
“Banjir tidak datang dari tempat biasa,tapi datang ikut kawasan lain. Jadinya tidak dapat nak jangka dan banyak kereta yang tidak dapat bawa keluar.
“Sebelum ini banjir datang kita tahu, tapi kali ini tidak boleh agak nak naik tinggi.
“Kalau nak ikutkan, memang total lost sebab banjir sudah tutup separuh rumah, perabot semua tenggelam,” katanya.
Seorang warga emas, Nurani Kasuma, 67, berkata beliau terpaksa berenang ke tempat tinggi untuk menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat.
Ketika kejadian, Nurani tidak dapat melelapkan mata kerana hujan turun dengan lebat.
“Sempat juga berenang nak ke tempat tinggi, tapi arus tak deras, tapi air laju naik.
“Sempat larikan diri dengan sehelai sepinggang. Air cepat naik dalam rumah.
“Saya sempat panggil anak datang ambil saya kat rumah, air laju dengan tiba-tiba datang dari sungai belakang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Semalam, kira-kira 200 penduduk di Taman Semenyih Indah dan Kampung Bangi Lama, Selangor dipindahkan selepas rumah mereka terjejas banjir, awal pagi tadi.
Media melaporkan operasi memindahkan mangsa bermula jam 4.30 pagi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS999. – MalaysiaGazette