Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Perak
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada Ahad.

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan agar pentadbiran kerajaan negeri untuk sentiasa menjunjung kesetiaan kepada baginda dan tidak mengecewakan amanah yang telah diberikan rakyat.

Titah baginda, rakyat sememangnya mahukan sebuah pemerintahan yang berlandaskan kepada undang-undang selain bersih daripada rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang, berintegriti, bersih rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa, hendaklah direalisasikan secara bersama oleh semua pihak, supaya negeri ini dimakmurkan.

“Demikian jua seruan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah, dekat sini, pada Ahad.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu Sultan Perak bertitah, institusi raja berperlembagaan yang baharu mencecah usia 66 tahun telah membuktikan kematangan dengan berjaya menangani pelbagai ujian dan kekusutan.

Titah baginda, takhta berperanan membolehkan kerajaan Negeri Perak ditubuhkan tiga hari selepas pilihan raya lalu yang menyebabkan keadaan Dewan Negeri berada dalam keadaan tergantung.

Sultan Nazrin bertitah lagi, ia jelas menunjukkan raja berpelembahan tidak sekadar pelengkap menenuhi adat negara beraja tetapi ia adalah institusi yang mempunyai roh serta semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara.

“Nyatalah Raja berperlembagaan telah memenuhi keperluan perlembagaan dan perundangan secara simbolik – secara fungsi; bertanggungjawab memastikan Perlembagaan diluhurkan dan undang-undang didaulatkan.

“Raja Pemerintah terbukti berperanan sebagai kunci kestabilan negara dengan mencipta formula berimbang yang memanfaatkan institusi raja, kerajaan, rakyat dan negara, lantas menghalang bertapaknya sebarang fahaman politik ekstrem yang berhaluan kiri atau kanan,” titah baginda lagi. -MG Perak

BACA LANJUT: 

‘Jangan biar rakyat menampi nyiru harapan sedangkan janji tidak berisi’ – Sultan Perak

‘Jangan biar rakyat menampi nyiru harapan sedangkan janji tidak berisi’ – Sultan Perak