Endrick. Foto Daily Mail.

RIO DE JANEIRO – Pemain muda Brazil yang meningkat naik berusia 17 tahun, Endrick mendapat panggilan pertamanya untuk pasukan kebangsaanya yang dilihat sebagai prospek besar pengganti Neymar pada masa akan datang.

Dia dijangka diturunkan jurulatih Fernando Diniz buat kali pertama bersama skuad senior Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia dan Argentina bulan ini, sekali gus muncul pemain termuda menyarung jersi Selecao sejak Ronaldo pada 1994.

Enderick yang dianggap antara permata baharu bola sepak Brazil bakal menyertai Real Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai tahun depan.

“Dia seorang pemain yang sangat berbakat besar dan panggilan ini bukan tekanan namun sebagai hadiah dan juga pandangan masa depan pemain muda ini,” ” kata Diniz ketika mengumumkan skuadnya dalam sidang media awal pagi tadi.

Endrick yang dilaporkan dibeli oleh Real Madrid dengan yuran perpindahan 72 juta euro (RM348.82 juta) masih segar dengan dua gol ketika kelabnya Palmeiras bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Botafogo 4-3 minggu lalu.

Turut tampil kali pertama dalam skuad senior ialah penyerang Brighton Joao Pedro, 22, Paulinho, 23, (Atletico Mineiro) dan Pepe, 26, (Porto) manakala Diniz menyisihkan penyerang Tottenham, Richarlison yang beraksi di Piala Dunia 2022.

Selain Neymar, 31, yang diketepikan beberapa bulan akibat kecederaan lutut pada 17 Oktober lalu ketika Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay.

Brazil juga beraksi tanpa kapten yang juga pemain tengah Manchester United, Casemiro yang tersisih beberapa minggu akibat kecederaan hamstring. – Agensi