SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melaksanakan sesi latih kesiapsiagaan sebagai persediaan menghadapi bencana khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2023 di Meraki, Tasik Puchong Prima, baru-baru ini.
Perubahan iklim Monsun Timur Laut dijangka bermula pada bulan September ini hingga Februari 2024.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata, latihan amal itu melibatkan 110 anggota Pasukan Tindakan Segera (Pantas), Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya dan IPD Serdang.
“Latihan yang dikelola jurulatih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Petaling, Selangor membabitkan pendedahan yang menyerupai senario sebenar melibatkan aspek pengemudian bot, penyelamatan dan pemindahan mangsa.
“Sesi latihan telah berlangsung selama 2 hari melibatkan 2 fasa latihan iaitu latihan di dalam dan di luar premis,” katanya.
MBSJ telah mengemaskini Pelan Operasi Bantuan Bencana yang akan digunapakai oleh semua Agensi Bertindak peringkat daerah bagi kawasan Bandaraya Subang Jaya.
Ia bertujuan untuk memastikan sesuatu operasi bantuan bencana dapat dilaksanakan secara bersama dengan sistematik,berkesan dan teratur.
MBSJ juga menyediakan 60 asetnya seperti dewan dan balai masyarakat sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan telah memasang 10 Stesen Pengesan Paras Air di kawasan risiko bencana banjir yang boleh mengeluarkan amaran awal tahap paras air ke Bilik Gerakan.
Sesi latihan tersebut hasil kerjasama MBSJ dengan empat agensi penyelamat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Zon Petaling, Selangor), Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM). – MalaysiaGazette