KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah apabila beberapa penyelidik unggul dari universiti tersebut tersenarai oleh Elsevier dalam Top 2% Scientists Worldwide (2% Saintis Terbaik Seluruh Dunia) bagi tahun 2023.
Menerusi satu kenyataan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, pencapaian membanggakan penyelidik-penyelidik UMS ini dapat dirungkai melalui impak yang terhasil dalam penyelidikan yang bermanfaat bukan sahaja kepada universiti, tetapi juga kepada masyarakat.
“UMS akan terus memacu usaha dalam mengimplementasi pelan strategik seiring dengan misi universiti sebagai peneraju masyarakat berinovatif.
“Baru-baru ini Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr. Kasim Mansur melancarkan 10 Key Results Area bagi tempoh 2023-2027 sebagai menyokong Pelan Transformasi UMS 2050 yang berpaksikan kepada misi menjadi universiti bertaraf dunia melalui sinergi tempatan ke arah kelestarian kampus,” katanya.
Bagi kategori Career Achievement (Pencapaian Kerjaya), tiga penyelidik UMS yang tersenarai adalah Prof Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Prof Dr. Jason Teo Tze Wi dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), dan Prof Madya Dr. Christopher Patrice Andie Wiart dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP).
Manakala, bagi kategori Single Year Achievement (Pencapaian Setahun), seramai lapan penyelidik UMS mendapat pengiktirafan tersebut.
Di antara mereka ialah Prof Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly (Fakulti Kejuruteraan), Prof Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria (FPSK), ProfDr. Jason Teo Tze Wi (FKI), Prof Madya Dr. Hanudin Amin (Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan), ProfMadya Dr. Christopher Patrice Andie Wiart (IBTP).
Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddique dari Institut Penyelidikan Bioteknologi, Prof Dr. Md Lutfor Rahman, dan Dr. Teo Siow Hwa masing-masing dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, turut tersenarai dalam kategori yang sama.
Key Result Area 3 iaitu Translatable Research yang dipertanggungjawabkan di bawah ekosistem penyelidikan dan inovasi UMS telah menjalankan beberapa inisiatif besar bagi meningkatkan lagi usaha penyelidikan yang bersifat translasional termasuklah penubuhan kluster penyelidikan dan makmal hidup. – MalaysiaGazette