PUTRAJAYA – Malaysia mengesahkan akan hadir menyertai sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) yang bermula 11 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian kerajaan itu dibuat kerana membabitkan kepentingan dari segi keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan negara ini.
Malah jelas beliau, keutamaan beliau juga sebagai perdana menteri adalah menjaga hubungan diplomatik dan keamanan negara walaupun tidak berganjak mempertahankan keadilan buat Palestin.
Bagaimanapun beliau yang juga menteri kewangan berharap tidak dilabel sebagai pro Israel selepas membuat keputusan itu menghadiri APEC itu.
“APEC saya kata ok, saya bincang dan lihat pendirian negara semua. Setakat ini negara ASEAN semuanya akan hadir. Negara-negara APEC lain juga semua akan hadir.
“Adakah kita tidak bersetuju dengan pendirian Amerika Syarikat dalam isu ini (Israel) kerana keutamaan saya kena jaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun tidak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan.
“Dan ini memutuskan saya untuk hadir di APEC yang dihadiri semua negara-negara Asia atas undangan Presiden AS Joe Bidan.
“Tentunya keputusan ini tidak menyenangkan sebahagian pihak tapi janganlah hukum saya sebagai pro Israel kerana hadir APEC kerana saya sebagai PM kena jaga kepentingan negara ini keselamatan dan ekonominya dan tentunya tidak berganjak nyata sikap saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri memberitahu, Malaysia belum memutuskan sama ada akan menyertai sidang APEC di mana pendirian kerajaan akan dibuat dalam masa terdekat ini.
Jelas beliau, pertimbangan perlu dibuat kerana kebanyakan negara besar dunia akan menghadiri sidang yang akan berlangsung di San Francisco, California itu.
Minggu lalu, Anwar berkata, Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China bagi mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada sidang APEC atau tidak.
Anwar berkata, selepas memperoleh semua maklumat, barulah Malaysia akan membuat keputusan, seiring dengan keputusan negara Asia lain.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Sebelum itu, Anwar dilaporkan akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC yang berlangsung selama seminggu.
Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar, turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS Joe Biden itu. – MalaysiaGazette