Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dengan pemberian sumbangan Deepavali, tiga lelaki bertindak bergaduh dalam kejadian di tempat letak kenderaan Perumahan Awam Sri Sabah di Cheras semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada jam 11.45 pagi sepasukan anggota Balai Polis Cheras yang menjalankan tugas Op Jaga Aman di Majlis Penyerahan Sumbangan Deepavali ternampak tiga lelaki warga tempatan bergaduh di parkir kereta.

“Anggota polis telah meleraikan pergaduhan mereka dan membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek tersebut.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 21(2) Akta Polis 1967,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan disebabkan tidak berpuas hati dengan agihan sumbangan Deepavali di majlis tersebut.

Semua suspek yang ditangkap berumur dalam lingkungan 26 hingga 36 tahun dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Kertas siasatan yang lengkap telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh di bawah seksyen 16 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek dituduh di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi. – MalaysiaGazette