Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali bertanyakan soalan pada ahli panel pada Program PLATFROM MG Edisi 2 Suara Malaysia Untuk Palestin di Pusat beli belah Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pusingan pertama Program Platform ‘Suara Malaysia Untuk Palestin’ anjuran MalaysiaGazette ‘hangat’ apabila seorang audien menggunakan peluang untuk menyuarakan kemarahannya terhadap kekejaman rejim Zionis Israel.

Datuk Dr Paduka Ibrahim Ali yang juga Presiden Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) menggunakan kesempatan pada sesi soal jawab dengan melemparkan pandangannya terhadap usaha Malaysia dalam bersolidariti mengenang nasib yang dialami oleh warga Palestin di Gaza.

Beliau berkata, isu Palestin adalah satu isu politik yang mana mengikut sejarah ia berkaitan dengan hak bumi milik rakyat Palestin yang dirampas oleh Zionis.

Justeru katanya, pendekatan yang wajar digunakan dalam isu berkenaan perlu menggunakan kaedah politik juga.

“Apa yang berlaku di Gaza ini sama juga seperti apa yang berlaku di Acheh dulu,…cuma bezanya ia disebabkan bencana alam tsunami.

“Soal dan isunya (kekejaman Israel…kita perlu bawa isu ini ke peringkat antarabangsa.

“Pertama yang rakyat berada di atas jalan (protes kekejaman)…tetapi dalam konteks kerajaan, Parlimen sampai ke hari ini tidak buka perbahasan untuk isu Palestin. Tidak ada usul untuk mengutuk kekejaman Israel.

“Walhal ada negara bukan Islam kutuk kekejaman Israel di Parlimen mereka. Kita tidak panggil duta Amerika yang menjadi tali barut Israel ini menyerah nota bagi pihak kerajaan. So what?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab program Suara Malaysia Untuk Palestin anjuran MalaysiaGazette dengan kerjasama Datumcorp International Sdn Bhd di Datum Jelatek Shopping Centre, di sini, malam ini.

Ibrahim turut meluahkan ketidakpuasan hati dengan pendirian kerajaan Malaysia dalam isu Palestin ketika ini.

Beliau turut memberi cadangan agar perlu ada fokus yang konsisten dalam membantu rakyat Palestin sejak sebelum berlaku peperangan yang sangat dahsyat ketika ini.

Ujarnya, apa yang berlaku di Gaza semuanya bermula ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu persidangan antarabangsa mengumumkan melebarkan luaskan kuasa ke tanah milik rakyat Palestin.

“Kita tengok kejadian pada 9 September di New York dulu.

“Binatang Netanyahu ni berucap di United Nation (UN) tunjuk peta. Ini adalah peta baharu di Asia Barat. Maknanya diperluaskan kawasan Gaza ni.

“Seminggu selepas itu baru timbul isu 9 September. Bermakna ia dirancang untuk memperbesarkan wilayah kerajaan Israeal.

“Jadi, kita jangan percaya barat ni CNN ke, BBC ke semua tak boleh percaya sebab negara arab pun tak boleh percaya,” katanya.

Program Platform MG menampilkan empat panelis iaitu Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd tahir; Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri; Pendukung Kemanusiaan, Tai Zee Kin dan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ahmad Faezal Mohamed.

Porgram selama dua jam itu dikendalikan Moderator MG, Haslina AR Kamaludin. – MalaysiaGazette