Saifuddin Nasution

JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati berlaku kekurangan kuaters melibatkan pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Johor.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod semasa mendapati 145 permohonan masih dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters di negeri ini.

Jelas beliau, keperluan tempat tinggal anggota JIM amat penting lebih-lebih lagi melibatkan anggota atau pegawai yang berasal luar dari Johor.

“Kita mengambil kira kadar kos sara hidup semasa di bandar raya Johor Bahru yang mana buat masa ini sebanyak 506 unit kuarters milik JIM Johor telah diisi iaitu meliputi 73 peratus daripada keseluruhan 697 unit.

“Pembelian secara en-bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera melibatkan kos RM41.08 juta antara lain merangkumi 72 unit pangsapuri perkhidmatan, lapan unit ruang kedai, 11 unit pejabat dan pelbagai kemudahan lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Secara En Bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru Sebagai Kuarters Jabatan Imigresen Malaysia di Tampoi hari ini.

Saifuddin menambah, pada masa kini bilangan pegawai dan kakitangan paling tinggi di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) iaitu seramai 1,116 orang daripada jumlah keseluruhan kakitangan JIM Johor seramai 2,858.

“KDN berharap kemudahan perumahan untuk kakitangan JIM Johor dapat diwujudkan sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk menjalankan tugas di samping dapat membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya lagi.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata peruntukan sebanyak RM19 bilion kepada KDN dalam Belanjawan 2024 adalah bagi memperkukuh kawalan keselamatan negara dan menjamin kebajikan kakitangan kakitangan kementerian itu.- MalaysiaGazette