Mohd Amin ( tengah ) menggesa pemilik harta di Pasir Gudang mengemukakan bantahan secara bertulis sehingga Selasa ini sempena sidang media di Menara Aqabah petang tadi.

PASIR GUDANG – Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sedia mempertimbang cadangan kenaikan cukai harta antara 40 sehingga 50 peratus, bermula tahun depan.

Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad berkata, sebanyak 1,300 daripada 98,490 pemegang harta telah membuat bantahan bertulis.

“Ketika sesi libat membabitkan ahli Majlis di zon masing-masing, ramai pemegang harta yang menyuarakan bantahan namun ia dibuat secara lisan sahaja. Justeru, kita sarankan mereka membuat bantahan secara formal.

“Kita cadangkan kenaikan 20 peratus setahun dalam tempoh lima tahun ini. Umum sedia maklum bahawa, kali terakhir cukai harta dinaikkan di Johor adalah pada 2013.

“Secara amalannya, cukai ini sepatutnya disemak semula setiap lima tahun, namun pada 2018 ianya tidak berlaku atas sebab-sebab tertentu. Pada tahun ini, ia disemak semula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MBPG, di sini, hari ini.

Sebelum ini Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membantah rancangan MBPG untuk menaikkan cukai pintu sehingga kira-kira 40 peratus yang bermula tahun depan.

Menurut Hassan, tindakan itu akan membuatkan rakyat di daerah ini bertambah marah, malah semakin terbeban selepas MBPG memutuskan untuk menguat kuasa tidakan saman kenderaan yang diparkir di luar pagar rumah pada tahun depan.-MalaysiaGazette