Saifuddin melawat kuaters Imigresen sempena Majlis Perjanjian Pembelian Secara EN-Bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera di Tampo hari ini.

JOHOR BAHRU –  Bermula tahun depan, projek rintis agensi tunggal kawal sempadan (SBA) dijangka akan memulakan operasinya secara berfasa.

Bagaimanapun ketika ini perkara itu masih peringkat perbincangan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ia termasuklah melibatkan struktur organisasi dan juga penjawatan pegawai dan kakitangan.

“KDN telah dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pelaksanaan usaha tersebut selepas ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 bulan lalu.

“Tujuan utama pelaksanaan agensi tunggal kawal sempadan iaitu koordinasi antara pelbagai agensi kawal selia dan kedua meningkatkan kecekapan sistem penyampaian apabila pelbagai agensi bersatu dan ketiga isu integriti.

“Sejumlah 141 pintu sempadan yang digazetkan di negara ini dan agensi berkenaan akan bertanggungjawab di kesemua lokasi. Sebagai permulaan, beberapa lokasi akan dipilih untuk pelaksanaan projek rintis entiti berkenaan bermula tahun depan.

“Selepas itu kita akan lihat bagaimana perjalanannya dan kemudian ia akan mula dilaksanakan di kesemua 141 pintu sempadan secara berfasa,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Secara En Bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru Sebagai Kuarters Jabatan Imigresen Malaysia di Tampoi hari ini.

Saifuddin Nasution juga berkata, kejayaan penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan dijadikan model bagi penubuhan agensi tunggal kawal sempadan berkenaan.

“Singapura juga mempunyai satu agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan mereka iaitu Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA),” katanya.

Katanya sebagai contoh, di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) ada 20 agensi berbeza manakala di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula ada 14 agensi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan khususnya di pintu sempadan negara. – MalaysiaGazette