Ketua Pegawai Eksekutif Datumcorp International Sdn Bhd, Tengku Khairil Azwan menyerahkn replika cek sumbangan RM10,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri pada Program PLATFROM MG di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Datumcorp International Sdn Bhd, Tengku Khairil Azwan berkata, kerjasama strategik dengan MalaysiaGazette membuka ruang kepada syarikat itu untuk terlibat dalam perkongsian ilmu bersama masyarakat terutamanya dalam mengetengahkan isu-isu semasa.

Menyifatkan MalaysiaGazette sebagai rakan bisnes, Tengku Khairil berkata, Datumcorp sentiasa mahu terlibat dalam membantu golongan memerlukan terutamanya dalam isu Palestin, justeru jalinan kerjasama yang termeterai adalah satu peluang yang amat memberangsangkan.

“Terima kasih kepada MalaysiaGazette yang kita angap sebagai business partner kerana mahu bekerjasama untuk menjayakan program ilmu ini di Datum Jelatek Shopping Centre malam tadi.

“Majlis ilmu seperti ini jarang ada, oleh itu dengan adanya peluang seperti ini kami dapat menyediakan ruang untuk berkongsi maklumat dan pandangan bersama rakyat terutamanya dalam isu Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program PLATFORM MG bertemakan Suara Malaysia Untuk Palestin yang berlangsung di Datum Jelatek Shopping Mall malam tadi.

Program yang bersiaran secara langsung itu menampilkan empat panelis iaitu Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd tahir; Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri; Pendukung Kemanusiaan, Tai Zee Kin dan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ahmad Faezal Mohamed.

PLATFORM MG dikendalikan Moderator MG, Haslina AR Kamaludin terbitan MalaysiaGazette hasil kerjasama strategik  bersama Datumcorp International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut,  Tengku Khairil berkata, kehadiran ilmuan dan mereka yang pernah turun ke Gaza juga memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan bersama masyarakat menerusi forum seperti PLATFORM MG.

Katanya, bagi Datumcorp sumbangan tunai yang besar mungkin agak terhad justeru penyediaan ruang untuk program-program ilmu adalah salah satu cara syarikat tersebut memanfaatkan aset mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sazela Mohd Safie

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Jualan Datumcorp International Sdn Bhd, Sazela Mohd Safie berkata, program perkongsian ilmu bersama masyarakat seperti PLATFORM MG memberi peluang kepada Datumcorp untuk lebih mendekatkan jenama mereka kepada masyarakat.

Namun, katanya, apa yang lebih penting adalah Datumcorp dapat berperanan dalam mengetengahkan isu penderitaaan rakyat Palestin yang kini berhadapan kezaliman rejim Zionis tanpa belas ihsan.

Sempena program PLATFORM MG Suara Malaysia Untuk Palestin, Datumcorp turut menghulurkan sumbangan RM10,000 kepada tabung Cinta Gaza Malaysia untuk disalurkan buat penduduk di Gaza. – MalaysiaGazette