Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ibu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz (kiri) dan bapanya Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff ketika hadir ke Mahkamah bagi Keputusan di akhir kes pembelaan ang menghadapi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin dengan institusi kehakiman di negara ini dapat membersihkan nama beliau daripada dakwaan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) hari ini.

Ketika ditemui di pekarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kelihatan tenang dan ceria ditemani sekitar 30 pimpinan parti serta penyokongnya pukul 9.40 pagi ini.

Ketika bercakap dengan media, Syed Saddiq mengakui tertunggu-tunggu keputusan hari ini kerana kesnya sudah memakan masa bertahun-tahun dan berharap ia positif.

“Sudah bertahun-tahun saya tunggu, saya yakin kebenaran akan menang. Alhamdulilah.  Doakan saya,” katanya kepada media pagi ini.

Sebentar lagi, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membaca keputusan di akhir kes pembelaan itu pada jam 10 pagi ini.

Jika mahkamah memihak kepada pihak pembelaan dengan berpendapat bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjaya menimbulkan keraguan munasabah – beliau akan dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Bagaimanapun, jika mahkamah berpandangan sebaliknya, ahli politik berusia 30 tahun itu berdepan hukuman penjara atau denda, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette