Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Walaupun bergelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menggunakan dana daripada akaun peribadinya untuk membayar kos rawatan perubatan pencegahan penyakit kanser.

Najib telah membelanjakan RM80,000 bagi membeli ubat daripada Vital Spire Sdn Bhd seperti saranan doktor setelah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua meninggal dunia kerana menghidap leukemia.

Ketika sesi soal balas pada prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan Najib, saksi ke-48 pendakwaan, Asisten Komisioner Foo Wei Min mengesahkan perkara itu kepada peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib, katanya, telah membayar RM80,000 sekitar tahun 2013 ketika itu dan transaksi lain menyusul.

Soal Muhammad Shafee, adakah saksi mengetahui Najib telah menggunakan wang dari akaun peribadinya walaupun ketika itu boleh menggunakan dana kerajaan memandangkan kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Adakah anda ingat Najib telah beritahu anda bahawa beliau boleh sahaja menggunakan dana daripada kerajaan bagi tujuan rawatan untuk beliau namun dirinya tidak sampai hati guna dana milik kerajaan. Oleh yang demikian, beliau guna dana yang beliau fikir ia adalah dana derma secara peribadi kepadanya?” soal Muhammad Shafee di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Saksi tersebut, Wei Min mengangguk sambil berkata, dirinya ingat tentang kenyataan itu daripada Najib ketika mengambil keterangannya daripada bekas perdana menteri itu.

Difahamkan, rawatan yang berupa ubatan-ubatan vitamin serta lain-lain daripada syarikat Vital Spire.

Dalam pada itu, Wei Min juga memaklumkan kepada mahkamah dirinya bukan seorang yang sesuai untuk mengatakan dakwaan terhadap Najib sebagai satu tuduhan kleptokrat.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette