Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Bersatu , Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Parto Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu Pejabat Perikatan Nasional, Publika, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Selepas dua lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, parti itu akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan itu susulan dakwaan wujudnya unsur ugutan dan rasuah selepas beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Anwar bagi mendapatkan peruntukan sebagai wakil rakyat.

Muhyiddin menjelaskan, laporan tersebut akan dibuat dalam tempoh sehari dua ini selepas parti tersebut selesai mengumpul maklumat.

“Kita beberapa hari lalu telah membuat pengumuman kes Ahli Parlimen Bersatu khasnya ada diugut, ditawar dengan faedah dengan tawaran sepeti kewangan atau peruntukan yang mana bagi kami adalah satu tindakan melanggar peruntukan Akta SPRM,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, malam ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Ahli  Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim sebelum ini memaklumkan mereka diberi tawaran sebelum mengumum menyokong Anwar.

“Contohnya dalam kes  Ahli Parlimen Gua Musang beliau maklum dalam mesyuarat Berstau Kelantan bahawa beliau dapat tawaran bagaimana menolak semuanya tetapi tiga hari selepas itu beliau umum sokong sebelah sana dan kita syak ada perkara berlaku yang telah langgar peraturan.

“Macam juga kes Kuala Kangsar jelas ada disebut dalam laporan tu, tarikh-tarikh bila mana pihak tertentu yang membabitkan tokey berpakat Tan Sri ugut kalau tak buat itu akan dikenakan hukuman oleh SPRM, ada elemen intimidasi atau pendakwaan untuk dapatkan sokongan dengan tawarkan tawaran bernilai jutaan ringgit dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata, laporan itu juga akan dibuat terhadap pegawai tertinggi SPRM yang mungkin terlibat dalam ugutan tersebut.

“Mungkin SPRM juga terbabit, mungkin ada babitkan pegawai tertinggi,” katanya.

Dua lagi Ahli Parlimen Bersatu iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdu Khalid serta Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengumumkan menyokong Anwar pada bulan lalu. – MalaysiaGazette