Seorang eksekutif wanita telah direman seminggu oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan menerima habuan untuk menukar ejen pengambilan pekerja asing Bangladesh dalam sistem komputer.- Gambar ihsan SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang eksekutif wanita direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM45,000 sebagai balasan membuat pertukaran ejen pengambilan pekerja asing warga Bangladesh melalui sistem komputer.

Sumber berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-anĀ  bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan telah dipercayai ditahan kira-kira 5 petang semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat yang membekalkan sistem pengurusan pekerja asing dipercayai melakukan perbuatan itu sejak bulan Jun hingga Oktober 2023.

Suspek warga tempatan itu berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi oleh dua pegawai penguat kuasa wanita SPRM untuk permohonan perintah reman.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang meneliti permohonan SPRM itu kemudian membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 November 2023 terhadap wanita itu untuk membantu siasatan lanjut agensi anti rasuah itu.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi telah mengesahkan tentang penahanan suspek tersebut.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast