Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 874 kawasan banjir dikenal pasti di Johor ekoran Monsun Timur Laut (MTL)  yang diramal bermula Sabtu ini.

Untuk itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik serta memastikannya siap sedia untuk dikerahkan apabila banjir.

Beliau berkata, menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL dan Pencemaran Sungai Negeri Johor semalam, kerajaan negeri telah mewujudkan beberapa pelan tindakan  bagi serta langkah mitigasi terperinci jika banjir mulai melanda Johor.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberi amaran tiga hari sebelum hujan lebat yang berterusan di daerah masing-masing.

“Oleh itu, setiap pegawai daerah telah diminta untuk membuat Mesyuarat Penyelarasan Bencana dalam tempoh 24 jam selepas mendapat amaran tersebut.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan agar diadakan program gotong royong membersihkan saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung-kampung terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan agar diadakan program gotong royong membersihkan saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung-kampung, terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir,” katanya.-MalaysiaGazette