NV. Subbarow

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan masyarakat India  yang bakal menyambut Deepavali supaya mengurangkan kandungan gula dalam pembuatan kuih.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow berkata, ia susulan kebanyakan kuih bagi perayaan tersebut mengandungi gula putih dan susu pekat yang tidak menyihatkan.

“Masyarakat India suka makan banyak biskut manis semasa perayaan seperti Deepavali, jadi adalah lebih sihat jika mereka mengurangkan kandungan gula dalam biskut.

“Satu kajian menunjukkan, seramai 3.6 juta individu dewasa di Malaysia dianggarkan menghidap diabetes yang mana 25.10 peratus daripadanya adalah masyarakat India.

“Keadaan ini menyedihkan dan membimbangkan tambahan pula masyarakat India merupakan komuniti kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CAP turut menyarankan ibu bapa menyediakan minuman herba yang sihat daripada membeli minuman ringan dan manis kepada tetamu khususnya kanak-kanak. – MalaysiaGazette