Tiga suspek ditahan ketika cuba mencuri kabel elektrik di kawasan Rumah Rehat Kerajaan di Jalan Pejabat disini semalam.- Foto:IPD Kluang

KLUANG – Tiga lelaki yang juga dipercayai penagih dadah tidak bernasib baik apabila mereka ditahan ketika leka mencuri kabel elektrik di Rumah Rehat Kerajaan di Jalan Pejabat dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 32 tahun berjaya ditahan.

Hasil semakan mendapati dua daripada suspek itu masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

“Bagaimanapun setelah  ujian saringan air kencing dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Mereka kemudiannya direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang bekerja sendiri melakukan kegiatan mencuri kabel secara kecil-kecilan itu dipercayai untuk mendapatkan kos bagi menampung perbelanjaan membeli dadah bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan perkara disyaki melibatkan jenayah di kawasan penempatan masing-masing diharapkan dapat menghubingi mana-mana balai polis berhampiran atau talian terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, 07-7784222, 07-7784256, Hotline 07-7766822, Tablet DCC 014-365682.- MalaysiaGazette