KUALA LUMPUR – ‘Misteri’ kemarahan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin akhirnya terjawab.
Dr. Mahathir berkata, kebencian tersebut berpunca apabila bekas Menteri Belia dan Sukan itu mencabar anaknya Datuk Seri Mukhriz dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Beliau membuat pengakuan rasmi tersebut di hadapan Khairy sendiri hari ini apabila bekas Menteri Kesihatan itu bertanya, “Kenapa Tun tak suka saya?”.
“Pasal you bertanding dengan anak saya. Lepas itu, mak mertua you kempen untuk you. Itu yang saya diberitahu,” kata Mahathir.
Bagaimanapun Khairy menafikan bahawa ibu mertuanya pada ketika itu Allahyarhamah Tun Seri Endon Mahmood membantu beliau berkempen untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.
“Ada, orang ceritalah. Lets not discuss that lah (Kita tak payah bincang pasal inilah,” kata Mahathir apabila Khairy terus menafikan penglibatan Endon dalam kempen pertandingan parti.
Pada 2006 Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru selepas mendapat 304 undi.
Mukhriz mendapat 323 undi manakala seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 254 undi.
Pemilihan jawatan itu begitu tegang dan sebaik selesai pengumuman dibuat di Pusat Dagangan Dunia Putra suasana riuh mula kedengaran apabila ada yang melaungkan “KJ rasuah, KJ rasuah, penipu”.
Sementara itu Dr. Mahathir mengakui kemarahannya terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi disebabkan bapa mertua Khairy itu tidak menunaikan janji selepas dilantik sebagai perdana menteri.
“Walaupun dulu dia sokong Tengku Razaleigh saya beri tempat kepada dia. Bila dia jadi perdana menteri perkara pertama dia lakukan selepas berjanji kepada saya untuk meneruskan projek landasan berkembar, jambatan bengkok dan MV Agusta.
“Dia janji hendak teruskan dalam tempoh dua minggu saya letak jawatan dan dia jadi perdana menteri, dia batalkan landasan berkembar, jambatan bengkok.
“Saya kecewa kerana janji. Sebab itu saya berpendapatan bahawa eh, Abdullah ini masih benci kepada saya, tapi dia janji. Dia tidak tunai janji. Itu yang menyebabkan saya berasa kecewa dengan dia,” kata Mahathir.-MalaysiaGazette