Perangkap yang dipasang Perhililitan Kelantan susulan kematian orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang yang dibaham harimau belang, 5 Okt 2023. Foto ihsan Perhililitan

KUALA LUMPUR- Seekor harimau belang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Pos Pasik, Gua Musang Kelantan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perhilitan Kelantan, haiwan liar itu berjaya ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang agensi berkenaan.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, tangkapan itu susulan daripada serangan harimau belang yang menyebabkan kematian seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik, 5 Oktober lalu.

Katanya, pihak Perhilitan Kelantan telah menjalankan Operasi Tangkapan Harimau Belang pada 6 Oktober lalu dengan menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan satu unit perangkap di lokasi aduan.

“Operasi ini melibatkan 10 anggota dan perlu dilaksanakan kerana harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar lokasi aduan dan perkampungan di Pos Pasik,” katanya.

Ujar beliau, kehadiran Pak Belang itu juga telah menjejaskan kehidupan harian masyarakat Orang Asli setempat.

Tambahan pula Pos Pasik merupakan salah sebuah kampung yang terletak di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Mohamad Hafid memberitahu, perjalanan ke kampung berkenaan mengambil masa kira-kira tiga ke empat jam bergantung kepada faktor cuaca serta keadaan jalan balak yang hanya boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast