Motosikal yang digunakan suspek dalam kes ragut semalam.

MELAKA – Sekumpulan tiga lelaki yang baru 15 hari keluar penjara diberkas polis semula apabila terlibat dalam tiga kes samun semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 27, 28 dan 30 tahun diberkas kira-kira pukul 9.40 malam, empat jam selepas melakukan samun.

“Tangkapan dibuat selepas menerima laporan kejadian beg mangsa berusia 19 tahun diragut suspek ketika sedang berjalan di Jalan Melaka Raya 23 kira-kira pukul 5 petang.

“Akibatnya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan kehilangan beberapa peralatan peribadi seperti beg duit dan komputer riba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, hasil kepantasan siasatan dan risikan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menahan ketiga-tiga suspek kira-kira pukul 9.40 malam di Taman Seri Tanjung.

“Polis turut berjaya merampas beberapa barangan milik mangsa malah suspek juga mengaku terlibat dalam dua lagi kes samun pada hari sama.

“Hasil semakan rekod mendapati, ketiga-tiga suspek merupakan penjenayah tegar yang baru sahaja keluar dari penjara 30 Oktober lalu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan – MalaysiaGazette