Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah laku dan jenayah.

Ia susulan tiga anggota polis ditahan Jumaat lepas kerana disyaki menculik dan memeras ugut seorang lelaki warga asing.

“Saya minta KP (Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan) perincikan maklumat (kes ini) dan kita tidak akan kompromi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman, di sini hari ini.

Razarudin turut memberi jaminan bahawa siasatan kes berkenaan sedang dilaksanakan secara telus dan terperinci.

Tiga anggota berpangkat rendah berusia 28 hingga 34 tahun ditahan di pejabat operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 9.30 malam, Jumaat lepas.

Ketiga-tiga anggota berkenaan ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing pada Rabu berhubung insiden berkenaan.

Terdahulu pada majlis hari ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilantik Pengarah JSPT Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mat Kasim Karim yang bersara pada September lepas.

Dalam ucapannya, Razarudin yakin Mohd Azman mampu menggalas mandat yang diberikan serta meneruskan legasi perjuangan pemimpin terdahulu ke arah pencapaian cemerlang. – BERNAMA