Sidang media oleh Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan contoh kenyataan media yang sama dikeluarkan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendakwa, contoh kenyataan sokongan itu juga sudah disiapkan kepada beberapa Ahli Parlimen PN lain termasuk dari Sabak Bernam dan Hulu Terengganu yang dipujuk menyatakan sokongan sama kepada Anwar.

Tegas beliau, ini membuktikan usaha memujuk Ahli Pembangkang PN dilakukan secara profesional, oleh seorang ejen yang berkeliaran di Parlimen selama ini menerusi bukti rakaman video yang dimiliki pihaknya.

“Sebelum benda ini berlaku, kami sudah jumpa dan tidak ada tanda-tanda mereka akan memberi sokongan kepada kerajaan. Namun selepas itu mereka membuat sokongan secara seorang-seorang.

“Pertemuan langsung tiada secara berdepan selepas sokongan dibuat namun Ahli Parlimen Kuala Kangsar ada di Parlimen hari ini dan kami belum sempat jumpa.

“Namun kalau media perhatikan semua kenyataan sama dan nampak profesional operator yang menyediakan template untuk ditandatangani bagi sokongan,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sabak Bernama, Kalam Salan yang hadir turut mengesahkan bahawa kenyataan sama telah disediakan buatnya untuk ditandatangani namun memberi jaminan tidak akan memberi sokongan kepada Anwar dan kerajaan.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen dari Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, dalam laporan polis yang dibuat oleh Armada Bersatu tengah malam tadi turut menyatakan penglibatan aktif seorang Datuk ‘botak’ dikenali Nasir Najib yang memainkan peranan penting dalam memujuk empat Ahli Parlimen PN itu.

Jelas beliau, pihaknya mempunyai rakaman video di mana individu tersebut pernah diihat bertemu ahli Parlimen terbabit di sekitar bangunan Parlimen sebelum ini.

Malah katanya, kenyataan yang dibuat sendiri oleh Suhaili yang memberitahu, beliau menerima peruntukan sebaik memberi sokongan kepada kerajaan membuktikan terdapat unsur sogokan.

“Kita boleh lihat gambar beliau yang tersenyum lebar bersama perdana menteri,” katanya. – MalaysiaGazette