Mohideen Abdul Kader.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengenakan skala cukai lebih tinggi ke atas restoran yang menyajikan makanan segera.

Ia susulan laporan bilangan pesakit diabetes semakin meningkat di negara ini terutama bagi individu dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penggunaan Sirap Jagung Tinggi Fruktosa (HFCS) sebagai pengganti gula bertapis yang murah dan tidak sihat turut perlu diharamkan dalam produk makanan di negara ini.

“Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut setiap 14 November, CAP menggesa supaya undang-undang pelabelan perlu dipinda bagi memastikan pengilang menukar label mereka untuk menunjukkan dengan jelas jumlah gula dalam makanan dengan bilangan sudu teh gula pada produk itu.

“Iklan makanan dan minuman bergula tinggi dan makanan ringan lain di televisyen perlu dihentikan selain melancarkan kempen besar-besaran di media massa bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya diabetes,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Mohideen, penjualan makanan ringan di kantin sekolah dan jualan makanan dalam kawasan sempadan tetap di sekitar sekolah juga perlu diharamkan agar murid tidak terdorong membeli makanan tidak sihat.

Katanya, mesin layan diri yang mengeluarkan makanan ringan dan minuman manis perlu dikosongkan dari kawasan seperti hospital, lapangan terbang dan sekolah sebaliknya menyediakan air minuman dalam mesin air di tempat berkenaan.

“Lebih banyak aktiviti diperlukan bagi mengawal berat badan malah masyarakat digalak mengamalkan pemakanan sihat serta mengelak pengambilan gula dan lemak tepu.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengekalkan berat badan yang sihat serta aktif secara fizikal dengan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti berintensiti sederhana pada kebanyakan hari,” katanya.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos 2022, diabetes menggunakan perbelanjaan penjagaan kesihatan tahunan tertinggi antara tiga penyakit kronik iaitu 45.4 peratus berbanding penyakit kardiovaskular (CVD) (40.7 peratus) dan kanser 13.9 peratus.

Penyakit itu begitu berleluasa sehingga satu daripada setiap lima rakyat Malaysia  didiagnos menghidapnya dan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun disahkan menghidap Diabetes Jenis II. – MalaysiaGazette