PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiapkan maklum balas berhubung syor yang diberikan bagi Laporan Pengurusan Wabak Covid-19, termasuk berkaitan isu ventilator.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada PAC sebelum ini untuk menyediakan maklumat yang diperlukan.
Beliau yakin makluman balas itu dijangka dapat diserahkan pada bulan depan seperti yang diminta oleh PAC.
“Laporan ini kita telah berikan kerjasama sepenuhnya kepada PAC dalam mereka meminta maklumat tentang perkara berkaitan diperlukan PAC.
“Jadi selebihnya misalnya ada lagi yang diminta PAC, kami bersedia memberi maklumat yang diperlukan. Ya (sedang disiapkan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Integriti KKM Tahun 2023 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau diminta kenyataan PAC semalam yang dijangka menerima maklum balas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada bulan depan berhubung syor yang diberikan bagi Laporan Pengurusan Wabak COVID-19, termasuk berkaitan isu ventilator.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya sudah menghantar surat untuk meminta KKM menjawab syor berkenaan.
Pada 30 Oktober lalu, PAC telah membentangkan Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE).
Berdasarkan laporamn didapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang turut menyaksikan 8.5 juta dos vaksin bernilai RM505 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu.
Selain itu, tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dengan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), manakala perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan, iaitu melalui aplikasi WhatsApp disebabkan kekangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta faktor kesegeraan dan keterdesakan situasi ketika itu.
Menurut laporan itu, PLSB diarah membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator walaupun syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator. – MalaysiaGazette