Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md IsaAmir Hamzah (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Utama LPPOM MUI, Muti Arintawati sempena Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2023 di sini.

BANGI – Penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2023 (PEH23) merupakan bukti komitmen Kolej UNITI Port Dickson untuk memperkasakan peranan pengamal industri halal dan memartabatkan profesion eksekutif halal dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, PEH23 merupakan platform perkongsian idea dan bertukar-tukar pandangan secara eksklusif melibatkan pengamal-pengamal pensijilan halal daripada pelbagai industri.

“Acara peringkat nasional ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2022.

“Ia terbukti telah memberi peluang kepada eksekutif halal dan pengamal industri halal mendapatkan maklumat terbaharu mengenai hala tuju serta polisi kerajaan melalui sesi perbincangan panel melibatkan pelaksana dasar, pakar pelbagai bidang berkaitan halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya, pihaknya komited mendokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal dengan melahirkan banyak bakat-bakat halal berpengetahuan dan berwibawa.

Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2023 berlangsung selama dua hari di Bangi Avenue Convention Centre, di sini, pada 14 hingga 15 November lalu.

PEH23 yang dianjurkan oleh Kolej UNITI Port Dickson bersama Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) mendapat sokongan kerajaan Negeri Selangor melalui HIS Toyyiba dan HDC.

Program tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan persekutuan serta negeri dan penglibatan syarikat-syarikat terkemuka tempatan.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS Toyyiba), Muhammad Syaril Showkat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffein Sahari; Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Marzuki Hassan dan Presiden Kumpulan Pendidikan UNITI, Datuk Jamal Mohd. Amin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast