NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan resolusi yang menggesa mewujudkan segera “jeda dan koridor kemanusiaan yang berpanjangan di seluruh Semenanjung Gaza”.
Ia adalah resolusi kelima yang dibawa ke Majlis Keselamatan PBB selepas empat percubaan gagal untuk bertindak balas terhadap perang Israel-Hamas.
Undian pada Rabu bagi resolusi itu membawa keputusan 12-0 dengan Amerika Syarikat, United Kingdom dan Rusia memilih untuk berkecuali.
Resolusi itu antara lain meminta “semua pihak mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, terutamanya berkaitan dengan perlindungan orang awam, terutamanya kanak-kanak.”
Draf terakhir resolusi menyaksikan ayat “permintaan” ditukar kepada “seruan” untuk jeda kemanusiaan. Resolusi itu bagaimanapun tidak menyebut sebarang cadangan mengenai gencatan senjata.
Rusia telah mencadangkan pindaan kepada resolusi itu sebelum pengundian yang akan memerlukan jeda kemanusiaan yang bertahan lama yang akhirnya membawa kepada gencatan senjata.
Bagaimanapun cadangan pindaan awal itu ditolak dengan undian 5-1 dengan sembilan berkecuali kerana gagal mendapat sekurang-kurangnya sembilan undi bersetuju.
Bagaimanapun resolusi yang dikemukan oleh Malta membawa 15 anggota badan paling berkuasa PBB itu bersama-sama dalam tindak balas pertama terhadap perang berterusan yang membawa akibat kemusnahan dan kematian yang dahsyat di Gaza. – Agensi