Adly bergambar bersama pemenang pertandingan Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan 2023 Peringkat Kebangsaan di Wisma Perwira ATM di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR — Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memberikan kerjasama dan mengikut syor penambahbaikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membentangkan laporan kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setiap tiga bulan sehingga projek itu disempurnakan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, MINDEF akan sentiasa menyalurkan maklumat berdasarkan semua jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentuk dan tidak timbul soal maklumat tidak diberikan kepada PAC.

“Setiap jawatankuasa ini ada tempoh mesyuaratnya. Dalam tempoh itu, semua jawatankuasa boleh memanggil mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat dan PAC boleh mengambil maklum tentang semua maklumat daripada jawatankuasa terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penutup Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan 2023 Peringkat Kebangsaan di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Menurut laporan yang disiarkan menerusi laman sesawang rasmi PAC baru-baru ini, jawatankuasa itu mengemukakan lima syor penambahbaikan termasuk MINDEF masih perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan sehingga projek itu disempurnakan termasuk laporan kemajuan mengikut piawaian pengurusan projek antarabangsa.

Ketika ini terdapat empat jenis jawatankuasa yang memantau kemajuan projek LCS selain PAC iaitu Jawatankuasa Teknikal di peringkat Pasukan Projek dan Project Management Review (PMR) iaitu pasukan teknikal projek di peringkat MINDEF.

Selain itu, terdapat Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Pembangunan) MINDEF dan Project Monitoring Committee (PMC) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha MINDEF dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Sebelum ini, pembinaan LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada sebuah kapal disiapkan, walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.08 bilion kepada BNS. – MalaysiaGazette